Andaiku punya sakti…
April 17th, 2008 by zakiyyaAndai tanganku punya sakti
Ingin ku ambil hatinya seketika
Untukku padam segala prasangka
Yang membina tembok
Menghalang kasih dua jiwa
Prasangka itu menyakitkan
Sungguh pedih untuk ditelan
Kerana tuduhan itu bukan aku
Aku tidak pernah pantas mempermainkan
Apatah lagi soal kehidupan.
Andai nafasku punya sakti
Inginku hembus haruman kasturi
Yang bisa membawa pergi gundah hati
Agar dia tetap tenang menanti
Taatkala menyelusuri onak dan duri
Andai suaraku punya sakti
Ingin kubisikkan kata azimat
Agar dia terus bersemangat
Menunggu kemenangan yang semakin dekat
Tapi, aku bukan bidadari
Yang punya banyak sakti
Aku hanya ada sepasang tangan biasa
Hembusan nafas yang sama
Dan suara tidak berjiwa
Tangan itulah yang aku angkat
Dalam setiap hembusan doaku
Bersama rintihan suara tidak merdu
Memohon pada Tuhan
Sayangilah aku dan kamu!
Hanya doa bukti kasihku..
daLam keBeraNian terUsik JuA perAsaAn..
April 11th, 2008 by zakiyyaandai hadirku tak dijemput, datangku bukan diundang, usah risau, aku akan pulang sebelum dihalau dan aku akan pergi sebelum mati!
andai bait kataku melemaskan, tutur bicaraku merimaskan, usah bimbang, aku akan diam, tak akan bersuara lagi!
andai tingkahku lesu, langkahku mengganggu, jangan khuatir aku akan kaku, biar aku beku..
dan jangan sesekali kau pernah risau, doaku tetap ada untukmu, aku tidak pernah ragu..Tuhan sayang aku dan kamu!
mElukis pErjalanaN esOk
April 11th, 2008 by zakiyyaPernah menyaksikan sebuah kanvas lukisan yang besar? Dipenuhi dengan corak abstrak yang amat sukar difahami. Ia berada di sebuah galeri pameran yang mewah, tergantung megah dan hanya akan bertukar milik dengan harga mencecah juta. Lantas, hati kita bertanya, apa cantiknya lukisan itu? Dan hati kita juga akan menjawab sendiri, itulah namanya nilai seni. Abstrak dan sukar difahami kecuali oleh orang-orang yang bisa mengerti.
Sekarang,
cuba bayangkan kita yang menjadi pelukisnya. Kita punya sebuah kanvas besar yang perlu dicorakkan dengan lukisan indah agar ia juga boleh digantung megah di dinding galeri pameran mewah. Bagaimana ya mahu mewarnai sebuah lukisan yang indah, bermakna pada mata kita juga pada mata-mata yang menyaksikannya?
Dan bayangkan juga kanvas itu kehidupan kita. Corak-corak yang tercalit adalah pengalaman kehidupan yang pernah dialami. Sedikit demi sedikit kita akan terus melukis di atas kanvas itu selagi nafas belum terhenti.Dengan pelbagai corak dan warna. Kadang kala cerah ceria dan ada kala suram kelam.
Ada yang berjaya kita padam dan ada yang akan kekal walau corak itu bukan pilihan.Teman-teman rapat dan insan-insan istimewa akan turut menitip warna atas lukisan kita, menjadikan lukisan itu lebih indah dan mengasyikkan. Dan kita juga pasti pernah mencalit warna atas lukisan orang lain. Fitrah kehidupan, saling memerlukan.
Dalam lukisan itu, pasti akan dihargai calitan warna orang-orang bermakna. Bagaikan hanya corak-corak indah itu sahaja yang kita mahu menjadi adunan lukisan kita. Mana mungkin, kerana orang yang bersama-sama memegang berus lukisan di tangan kita akan silih berganti. Ingatilah serta hargailah setiap lukisan insan lain dalam kanvas hidupmu itu walau hanya setitis kecil warna. Setiap titik warna itulah yang menjadikan lukisan mu siap untuk ditatap.
Namun, dalam kesempatan mewarnai lukisan orang lain, cubalah untuk mewarnainya secantik mungkin walau ruang yang diberikan hanya muat untuk satu renjisan. Selepas itu jangan kau tagih penghargaan darinya kerana lukisan hidupnya tetap akan siap untuk ditatap tanpa renjisan darimu.
Begitulah nikmat kehidupan, memberilah sebanyak mungkin tanpa mengharapkan balasan, dan hargai serta syukuri apa sahaja yang diterima kerana ia pemberian dari Tuhan.
biar hati meneliti
April 11th, 2008 by zakiyyaKupujuk hati disaat aku sangka aku kehilangan…
Setiap kali kita mengangkat kaki melangkah ke hadapan, setiap kali itu jugalah kita akan meninggalkan satu kesan tapak kaki dibelakang. Itulah kehidupan, korbankan apa yang ada di tangan untuk mendapatkan apa yang diimpikan. You have to pay for everything you want.
Kadang-kadang, kita terlalu sayang untuk mengorbankan apa yang kita ada demi sesuatu yang baru. Namun, putaran kehidupan serta fitrah alam memaksa diri untuk melepaskan sesuatu pergi dari hidup ini demi menerima sesuatu yang baru. Putaran ini akan berulang dan terus berulang bersama berlalunya usia, cuma hadir dalam bentuk berbeza.
Kita seharusnya akur, apa sahaja yang ada disekeliling saat ini adalah bersifat sementara. Segala yang ada dikiri dan kanan, sama ada bernyawa atau tidak, sedang menunggu saatnya untuk beralih dari kehidupan kita. Kita juga begitu, sedang menunggu saat beralih ke dunia tidak bernoktah.
Dek kerana sifat sementara yang ada pada setiap ciptaan itu, belajarlah untuk menghargai segala yang kita masih ada. Tapi sayangnya, manusia ini mudah lupa. Lupa untuk menghargai apa yang dekat dengannya, namun bila yang dekat dan selalu ada itu hilang, baru hendak melatah tidak keruan, menyesal tak berkesudahan. Kadang-kala, enggan pula melepaskan hak milik sementara itu pergi. Bersedih hati laksana dunia sudah dihujungnya disaat apa sahaja yang disayangi sudah tiada lagi. Itu sifat semua benda, sementara! Belajarlah untuk menerimanya.
Ingatkanlah diri, segalanya pasti akan pergi. Syukurilah nikmat yang kita ada kerana kita tidak tahu bila nikmat berganti bencana. Hargailah setiap insan yang ada di sisi kerana kita juga tidak tahu, siapa antara kita yang akan pergi dahulu. Dan andai ada insan-insan yang bermakna ingin melangkah jauh ke hujung bumi, lepaskanlah dengan rela hati. Cukuplah sekadar dikenang dalam lipatan memori, kerana setiap insan yang pernah hadir dalam hidupmu pasti akan meninggalkan secalit warna kenangan dalam kanvas lukisan kehidupan. Tidak perlu untuk dipadam. Calitan itu kelak akan menjadi pedoman. Usah ditangisi insan yang ingin pergi, kerana yang baru akan datang mengganti membawa adunan warna yang lebih beerti. Jangan khuatir pada ketentuan Ilahi kerana setiap takdir Tuhan ada rahmat yang tersembunyi.
Yang penting, hargailah apa sahaja yang ada disisi saat ini, sebelum ia pergi tak kembali…
…rupanya, Dia hilangkan kaca untuk kudapatkan permata..
Indahnya kehidupan
March 22nd, 2008 by zakiyya
Aku tidak mahu pulang…dari sebuah dunia kecil yang cukup indah. Namun, apakan daya, aku punya amanah untuk hidup di atas dunia..bukan sekadar untuk menghiburkan hati yang tidak pernah puas mencari gembira…
Dunia kecil itu buat aku jatuh cinta. Tiada gelodak jiwa. Tiada keresahan. Penuh dengan gelak tawa dan kejujuran, juga tangisan kepasrahan yang cukup meleraikan. Dunia kecil baru ku ini mengajar aku banyak perkara besar dalam hidup, tapi dengan cara yang cukup ringkas. Indah..cukup indah, tapi sayang aku terpaksa tinggalkan dunia kecil ini dan tiada janji pasti aku akan kembali walau pun hati ini akan merindui. Kata dunia kecilku, ‘Absence makes the heart grow fonder’
Perjalanan ke dunia kecilku sebenarnya bermula dengan keserabutan. Namun segala kebetulan tanpa di rancang sangat menyenangkan. Bukan kebetulan sebenarnya, perancangan Tuhan yang lebih arif mengatur kehidupan. DIA mentakdirkan kebetulan yang sangat baik, kerana DIA yang paling arif akan isi hati hambaNya.
Didunia kecil aku balajar…betapa dalam hidup, bahagia ada dimana-mana, asalkan yakin Tuhan amat menyayangi kita. Kita tiada masa untuk berlengah, segalanya memerlukan usaha. masa tidak menanti..tapi perlu dikejar. Andai tersembam jatuh ke bumi, bangkitlah dan teruskan berlari, kerana walau tertinggal jauh, tidak pernah ada larangan untuk kita terus mengejar segala impian dan cita-cita. Berusahalah segala kudrat yang ada, kerana kita tidak pernah tahu, di ’stesen’ mana kejayaan itu milik kita…dan andai masih kempunan kejayaan, ingatlah, Allah bukan membalas apa kejayaan yang kita perolehi, tapi apa usaha yang telah kita beri.
Dunia kecil bercerita padaku, betapa kejujuran itu menyenangkan dan menenangkan. Jangan simpan kepalsuan, jangan luah pembohongan kerana itu semua akan merugikan. Cantiknya hukum Tuhan yang telah meletakkan dosa besar pada kesalahan penipuan.
Tuhan, andai Engkau izinkan, ingin aku kembali ke dunia kecil kecintaanku ini. Atau, temukan aku pada dunia indah dan damai sebegini. Tanpa hiruk pikuk, tanpa pergelutan. Tiada tekanan laksana sebuah dunia khayalan. Terima kasih Tuhan atas rahmatMu kali ini.
Buat insan-insan yang membawa aku kembara ke dunia kecil ini, semoga rahmat Allah menjadi milikmu, dulu, kini dan selamanya…
Dan..pada insan-insan budiman yang aku tinggalkan di dunia kecil itu, ketahuilah, hati ini pasti akan merindui…
kEraNa aKu sElAlU TeRlUpA
February 13th, 2008 by zakiyyaAku Yang Selalu Lupa
Dalam
tempoh yang singkat, terlalu banyak duri-duri ujian datang menusuk hati,
menggariskan lukisan duka yang pedih dan dalam sehingga ke dasar. Menagih
sebuah kesabaran yang besar. Mencari sebuah jawapan yang sukar. Bergelut dengan
nafas sendiri untuk mencari hembusan yang menenangkan, yang bisa membawa pergi
segala lara di jiwa. Aku bertanya sendiri, mengapa ini terjadi, akhirnya aku
temui jawapannya…kerana aku selalu lupa!
Aku
selalu lupa bahawa…
Aku
hanya insan biasa yang hanya mampu membina impian dan cita-cita untuk digapai,
seterusnya berusaha sedaya upaya untuk menggenggam impian yang diidamkan,
sedangkan, sebenarnya segala ketentuan sudah sekian lama tercatat dalam qada’
dan qadar Tuhan. Bila impianku pudar, aku kecewa, kerana aku lupa segala
musibah ada hikmah di sebaliknya.
“Ujian adalah tarbiah
dari ALLAH, adakah kita kan sabar, atau sebaliknya. Kesenangan yang datang
selepas kesusahan, semuanya adalah nikmat dari Tuhan.-Inteam”
Aku
selalu lupa bahawa…
Segala
nikmat yang aku ada hanya pinjaman semata-mata. Ia bukan milik abadi ku.
Segalanya kurnian Tuhan, tanda kasih kepada hamba-Nya. Bila-bila masa, Dia
sangat berhak untuk menariknya kembali. Tatkala nikmat itu dihilangkan, aku
menangis kesedihan, kerana aku lupa, nikmat itu adalah amanah, bukan hak milik.
“Dalam derita ada
bahagia, dalam gembira mungkin terselit duka. Tak siapa tahu, tak siapa minta
ujian bertamu. Bibir mudah melafaz sabar, tapi hatilah yang remuk menderita, insan
memandang mempunyai pelbagai tafsiran.-UNIC”
Aku
selalu lupa bahawa…
Dunia
ini bukan sempurna. Pelbagai jenis jiwa hidup di dalamnya. Tidak semua jiwa itu
memahami kehendak jiwa lain. Walau ada yang hidup memenuhi jiwa sendiri, pun
tidak kurang yang hidup demi jiwa orang lain. Yang sukar ialah apabila
pertembungan kehendak dua jiwa yang tidak sehala. Satu akan mengorbankan dan
satu lagi akan terkorban. Kenapa? Kerana nafsi-nafsi mewarnai dunia. Tatkala
aku berharap pengorbananku di ambil kira (tidak perlu sehingga dihargai), itu
tidak mungkin terjadi dalam harakah nafsi-nafsi ini, lantas aku berasa hampa,
kerana aku lupa pengorbanan bukan untuk manusia, tapi hanya untuk Dia.
Aku
selalu lupa bahawa…
Aku Ada banyak tempat yang aku tidak perlu untuk bersuara. Lebih baik diam demi
bukan sesiapa.
kemaslahatan dua jiwa iaitu yang berbicara dan yang mendengar. Melainkan butir
bicara itu bermanfaat. Aku akan kesal di saat kata-kata ku, mencalar hati insan
lain walau pun ianya benar, kerana aku lupa, kata-kata itu laksana ubat,
sedikit digunakan, bermanfaat, terlalu banyak diambil, akan mudharat.
Aku
selalu lupa bahawa…
Aku
lebih beruntung dari ramai insan lain. Aku punya kehidupan yang berwarna-warni.
Dipenuhi lukisan-lukisan indah seorang anak remaja walau pun aku selalu jatuh
tersungkur dalam kembara mengejar cita-cita. Tapi aku bisa bangun kembali,
meneruskan langkah dan berlari menuju destinasi. Sedangkan ramai insan lain
yang tidak pernah pun mampu tersenyum bagi menikmati kehidupan anugerah Ilahi.
Mengapa aku perlu menangis mengharapkan sesuatu yang lebih baik dalam hidup
sedangkan Tuhan telah memberikan segala-gala yang terbaik untuk ku sesuai
dengan kudrat keupayaan yang aku ada, kerana aku lupa untuk bersyukur atas
nikmatNya.
Aku
selalu lupa bahawa…
Aku
yang memilih untuk berada di jalan yang aku jejaki sekarang. Setiap jalan yang
terbentang untuk menuju kejayaan tidak pernah sepi dengan ujian dan cabaran
kerana itulah ramuan yang memberikan rasa manis kepada sebuah kejayaan,
bermakna, aku perlu akur pada setiap onak duri yang mesti aku tempuhi, bukan
merengek dan mengadu bahawa hati sudah tidak betah lagi. Aku lemah kerana aku
lupa bahawa demi kejayaan ada harga perlu dibayar.
Sungguh
aku insan biasa yang sering terlupa..kalau lah aku selalu ingat bahawa
kehidupan dunia hanya persinggahan singkat, pasti tidak akan ku bazirkan air
mata atas duka picisan yang sekadar sandiwara dunia. Tapi sayangnya…aku
selalu lupa aku siapa..
December 14th, 2007 by zakiyya
Kalau berkayuh di tepi pantai
Kerap bersua ragam halangan
Tak semua hasrat kan sampai
Kadang tersangkut ditengah jalan
Namun bila kaki sudah melangkah
Pantang menoleh menongkah gelita
Biar layar bergerak patah
Namun perjuangan kuteruskan jua
Ni bukan pantun ciptaan aku, ni bukan hasil nukilan aku. Ini pantun yang sangat selalu aku dengar, setiap kali pantun ini diperdengarkan, aku adalah pendengarnya yang pasti. Namun , biar pun berpuluh-puluh kali aku mendengarnya, aku tidak pernah menghayatinya, biar sudah didengar berkali, cuma laksana masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Cuma setelah Allah ketuk hatiku dengan kekecewaan dan tatkala aku hampir berputus asa untuk meneruskan perjuangan, barulah aku teringat bahawa dalam pantun yang selalu aku dengar ini ada secebis nasihat buatku.
Lantas membawa mindaku bermuhasabah seketika, mungkin dalam kehidupan ini sudah ada banyak ruang, peluang, nikmat, rahmat dan pemberian dari Tuhan untuk kita, cuma kita tidak menyedarinya kerana kita terleka untuk mengejar sesuatu yang tidak pasti. Dan disaat segalanya telah hilang barulah kita menyesali…kerana manusia, apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan…
Siapa tahu sudah berapa banyak peluang yang kita sia-siakan kerana hati yang buta menilai antara kaca dan permata.
Mohon Allah tidak tutup pintu hati ini untuk menilai mana syurga, mana neraka…nauzubillah
SoAL hAtI
December 11th, 2007 by zakiyyaDalam jasad kita ada seketul daging,jika baik daging itu, baiklah keseluruhan kita, jika buruk daging itu, maka buruklah diri kita, dan daging itu adalah hati.
Dan tiada lakonan yang dapat menutup siapa kita sebenarnya disisi Dia
Soal hati memang sukar unturk di tafsir…kerana dalam hati ada pertempuran iman dan nafsu. Salah satu perlu untuk menang. Siapa yang menang antara keduanya, itu yang akan dizahirkan.
Kembara kali ini juga berhadiahkan luka, cuma sedikit berbeza…luka kali ini hanya mengguris hati seorang manusia yang fitrahnya inginkan nikmat. Namun luka ini, tidak mencalar keyakinan bahawa, segala ketentuan telah Allah catatkan, segala kelukaan ada hikmah besar yang tersimpan…TERIMA KASIH TUHAN
Mungkin kembara akan datang juga menjanjikan luka dan calar balar…tp itu lebih baik kerana lebih dekat denganNya
Percayalah, semua akan jadi indah jika hanya kerana ALLAH. Tika gembira, kita bersyukur, balasannya pahala, tika bersedih, kita tabah balasannya juga pahala..
Sebuah kelas kehidupan
December 1st, 2007 by zakiyyaAku baru pulang dari sebuah kembara diraja. Aku telah pergi dengan harapan paling tinggi yang boleh aku galas, namun akhirnya aku pulang dengan calar balar di hati yang hanya aku sendiri mengerti. Yang pasti, garis-garis luka ini adalah tanda kasih Ilahi.
Kembara kali ini sangat bermakna, sangat menyentuh jiwa, kembara paling hebat di antara kembara yang lepas. Kembara kali ini mengajak aku untuk berpijak di atas bumi nyata, keluar dari angan-angan selesa ciptaanku, berdiri dan manghadapi realiti yang sering aku tinggalkan sewaktu mencipta dunia impian. Kembara kali ini menguji dan mengajar, siapa sebenarnya kita…
Pertama, ingatlah, kita hanya merancang, namun ketetapannya bukan milik kita.Ayat ini telah lama bermukim di hati, telah lama di imani. Namun tatkala impian tidak selari kenyataan, mengapa masih ditangisi dan dikesali rencana Ilahi? Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kau dan aku.
Kedua, kembara kali ini telah mengajar aku untuk menyayangi sesiapa sahaja tanpa ada syaratnya, tanpa mengharapkan balasan atau alasan. Sayangilah segala yang ada di bumi semoga disayangi segala yang ada di langit. Hanya hati yang penuh dengan kasih sayang ada kelunakan untuk meraih cinta dari Tuhan.
Kembara kali ini, biarpun hadiahnya luka semata, bukan penghujung perjuangan. Luka-luka parah ini perlu untuk dirawat, dan penawarnya hanya ada dalam siri kembara yang akan datang. Semoga hati ini tidak pernah lupa pada perjuangan sebenar,mencari redha Dia dan jalan menuju kesyurgaNya…apalah makna seribu kejayaan di dunia jika neraka sedia menanti di sana..nauzubillah…