kEraNa aKu sElAlU TeRlUpA

Aku Yang Selalu Lupa

 

Dalam
tempoh yang singkat, terlalu banyak duri-duri ujian datang menusuk hati,
menggariskan lukisan duka yang pedih dan dalam sehingga ke dasar. Menagih
sebuah kesabaran yang besar. Mencari sebuah jawapan yang sukar. Bergelut dengan
nafas sendiri untuk mencari hembusan yang menenangkan, yang bisa membawa pergi
segala lara di jiwa. Aku bertanya sendiri, mengapa ini terjadi, akhirnya aku
temui jawapannya…kerana aku selalu lupa!

 

Aku
selalu lupa bahawa…

Aku
hanya insan biasa yang hanya mampu membina impian dan cita-cita untuk digapai,
seterusnya berusaha sedaya upaya untuk menggenggam impian yang diidamkan,
sedangkan, sebenarnya segala ketentuan sudah sekian lama tercatat dalam qada’
dan qadar Tuhan. Bila impianku pudar, aku kecewa, kerana aku lupa segala
musibah ada hikmah di sebaliknya.

“Ujian adalah tarbiah
dari ALLAH, adakah kita kan sabar, atau sebaliknya. Kesenangan yang datang
selepas kesusahan, semuanya adalah nikmat dari Tuhan.-Inteam”

 

Aku
selalu lupa bahawa…

Segala
nikmat yang aku ada hanya pinjaman semata-mata. Ia bukan milik abadi ku.
Segalanya kurnian Tuhan, tanda kasih kepada hamba-Nya. Bila-bila masa, Dia
sangat berhak untuk menariknya kembali. Tatkala nikmat itu dihilangkan, aku
menangis kesedihan, kerana aku lupa, nikmat itu adalah amanah, bukan hak milik.

“Dalam derita ada
bahagia, dalam gembira mungkin terselit duka. Tak siapa tahu, tak siapa minta
ujian bertamu. Bibir mudah melafaz sabar, tapi hatilah yang remuk menderita, insan
memandang mempunyai pelbagai tafsiran.-UNIC

 

Aku
selalu lupa bahawa…

Dunia
ini bukan sempurna. Pelbagai jenis jiwa hidup di dalamnya. Tidak semua jiwa itu
memahami kehendak jiwa lain. Walau ada yang hidup memenuhi jiwa sendiri, pun
tidak kurang yang hidup demi jiwa orang lain. Yang sukar ialah apabila
pertembungan kehendak dua jiwa yang tidak sehala. Satu akan mengorbankan dan
satu lagi akan terkorban. Kenapa? Kerana nafsi-nafsi mewarnai dunia. Tatkala
aku berharap pengorbananku di ambil kira (tidak perlu sehingga dihargai), itu
tidak mungkin terjadi dalam harakah nafsi-nafsi ini, lantas aku berasa hampa,
kerana aku lupa pengorbanan bukan untuk manusia, tapi hanya untuk Dia.

 

Aku
selalu lupa bahawa…

Aku
bukan sesiapa.

Ada

banyak tempat yang aku tidak perlu untuk bersuara. Lebih baik diam demi
kemaslahatan dua jiwa iaitu yang berbicara dan yang mendengar. Melainkan butir
bicara itu bermanfaat. Aku akan kesal di saat kata-kata ku, mencalar hati insan
lain walau pun ianya benar, kerana aku lupa, kata-kata itu laksana ubat,
sedikit digunakan, bermanfaat, terlalu banyak diambil, akan mudharat.

 

Aku
selalu lupa bahawa…

Aku
lebih beruntung dari ramai insan lain. Aku punya kehidupan yang berwarna-warni.
Dipenuhi lukisan-lukisan indah seorang anak remaja walau pun aku selalu jatuh
tersungkur dalam kembara mengejar cita-cita. Tapi aku bisa bangun kembali,
meneruskan langkah dan berlari menuju destinasi. Sedangkan ramai insan lain
yang tidak pernah pun mampu tersenyum bagi menikmati kehidupan anugerah Ilahi.
Mengapa aku perlu menangis mengharapkan sesuatu yang lebih baik dalam hidup
sedangkan Tuhan telah memberikan segala-gala yang terbaik untuk ku sesuai
dengan kudrat keupayaan yang aku ada, kerana aku lupa untuk bersyukur atas
nikmatNya.

 

Aku
selalu lupa bahawa…

Aku
yang memilih untuk berada di jalan yang aku jejaki sekarang. Setiap jalan yang
terbentang untuk menuju kejayaan tidak pernah sepi dengan ujian dan cabaran
kerana itulah ramuan yang memberikan rasa manis kepada sebuah kejayaan,
bermakna, aku perlu akur pada setiap onak duri yang mesti aku tempuhi, bukan
merengek dan mengadu bahawa hati sudah tidak betah lagi. Aku lemah kerana aku
lupa bahawa demi kejayaan ada harga perlu dibayar.

 

 

Sungguh
aku insan biasa yang sering terlupa..kalau lah aku selalu ingat bahawa
kehidupan dunia hanya persinggahan singkat, pasti tidak akan ku bazirkan air
mata atas duka picisan yang sekadar sandiwara dunia. Tapi sayangnya…aku
selalu lupa aku siapa..

Leave a Reply